Tun M dan rakan-rakan tolak Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Tun M dan rakan-rakan tolak Belanjawan 2021

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakan seangkatannya berikrar akan menolak usul Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok.

Katanya, tindakan itu diambil atas rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang mereka sehingga penggal perkhidmatan wakil rakyat tamat.

“Saya dan rakan-rakan mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 dan kami lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang kami pegang bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan kami sebagai wakil rakyat tamat.

“Kita telah melihat betapa mengecewakan proses perbahasan Belanjawan berjalan beberapa hari kebelakangan ini.

“Selain dari perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda di pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli Parlimen mahupun kritikan rakyat yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat,” katanya menerusi blognya, chedet.cc hari ini.

Dr. Mahathir juga berkata, jika Belanjawan 2021 gagal mendapat sokongan majoriti, ia bukti kerajaan hilang “legitimacy” kerana tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk meluluskan Belanjawan.

Apabila ini berlaku, katanya, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah, dia akan meletakkan jawatan.

Seterusnya, kata Dr. Mahathir, jika dalam suasana biasa, dia (Perdana Menteri) boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen.

“Tetapi masa sekarang, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, keadaan adalah amat luar biasa dan pengalaman pilihan raya di Sabah baru-baru ini yang memperlihat bahawa mengadakan pilihan raya umum bukanlah satu pilihan, malahan jika dipilih boleh membawa kemudaratan,” ujarnya.

Kerana itu, menurut Dr. Mahathir, proses yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka, dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh kerajaan yang baharu dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Ini akan dapat memastikan bahawa kerajaan baharu ini mempunyai legitimacy dan tidak dipersoalkan seperti kerajaan pintu belakang sekarang ini.

“Setelah kerajaan baharu dapat ditubuh, maka kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan Belanjawan yang baharu atau pun mengambil Belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

“Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen Khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama,” jelas beliau.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya