Tumbuk gelandangan dalam cubaan samun - Utusan Malaysia

Tumbuk gelandangan dalam cubaan samun

RAKAMAN video kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang gelandangan warga emas ditumbuk seorang suspek dalam kejadian cubaan samun beg silangnya di tepi Jalan Lebuh Cina, Georgetown, Pulau Pinang Sabtu lalu. Gambar IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan tidak berperikemanusiaan dua lelaki yang tergamak menyamun gelandangan berkerusi roda di Lebuh Cina di sini menerima balasan setimpal selepas salah seorang mereka berjaya ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu lalu itu, salah seorang suspek turut bertindak menumbuk muka mangsa yang merupakan warga emas berkali-kali dalam cubaan menyamun beg silang mangsa.

Kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan suspek pada mulanya menghampiri dan berbual-bual mesra dengan mangsa sebelum secara tiba-tiba bertindak menarik beg silang mangsa.

Mangsa bagaimanapun bertindak mempertahankan begnya sehingga berlaku tarik-menarik dengan mangsa turut ditumbuk beberapa kali di bahagian muka.

Kejadian itu bagaimanapun disedari seorang wanita warga emas yang kemudiannya cuba membantu menyebabkan suspek melarikan diri dengan membonceng motosikal dipandu rakannya yang menunggu berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis berjaya menahan suspek di Lebuh Steward kira-kira pukul 10.30 pagi hari sama iaitu selepas kira-kira sejam kejadian.

“Suspek lelaki berketurunan India berusia 32 tahun itu mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif sebarang pengambilan dadah dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana menghidap penyakit tibi dan pendarahan dalam perut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelasnya, pihak polis masih mengesan rakan subahat suspek yang menaiki motosikal terbabit yang kini masih bebas.

Ujar beliau, tiada kerugian dialami mangsa dalam kejadian itu kerana suspek gagal melarikan beg yang cuba disamun.

“Mangsa ialah seorang gelandangan berusia 66 tahun yang mengalami patah kaki kiri dan kanan akibat kemalangan serta berkerusi roda.

“Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan ringan pada muka,” ujarnya 

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun dan mendatangkam kecederaan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN