JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan menafikan satu berita tular dengan mengatakan kawasan sekitar Kampung Gunung Pulai di Kulai telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, maklumat berkenaan bukan sahaja tidak benar malah bukan disampaikan sumber kerajaan tidak bertauliah.
“Sebenarnya kakitangan Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan pengesanan kes aktif dan penilaian risiko di kawasan berkenaan.
“Tiada arahan PKPD diumumkam setakat ini sebaliknya hanya arahan pengawasan dan pemerhatian di rumah dikeluarkan terhadap beberapa kontak rapat kes aktif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ia susulan tular mesej di satu kumpulan komuniti di media sosial Covid-19 yang kononnya mendakwa kawasan itu telah dikenakan PKPD selama 14 hari mulai malam tadi.
Dalam mesej yang tular sejak malam tadi itu kononnya sudah selesai membanci seluruh penduduk Kampung Gunung Pulai untuk ujian saringan dengan PKPD selama 14 hari akan dilaksanakan mulai malam tadi.
Selain itu, turur tular adalah gambar pemasangan beberapa khemah yang kononnya sedang didirikan di hadapan pintu masuk kampung berkenaan. -UTUSAN ONLINE