KOTA TINGGI: Operasi di Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) akan dilaksanakan secara bekerja dari rumah bermula esok sehingga tempoh dimaklumkan kelak.
Yang Dipertua MDKT, Saipol Rahman Amat ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan sebarang urusan dengan pihak pentadbiran majlis boleh dilakukan secara dalam talian.
“Operasi MDKT secara ‘work from home’ akan dilaksanakan mulai 8 November 2020 sehingga notis terkini yang akan dimaklumkan kelak. Semua pihak juga boleh berurusan dengan pentadbiran majlis melalui emel di alamat [email protected] laman web serta facebook MDKT.
“Untuk tujuan pembayaran boleh dilaksanakan secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu tular dalam laman media sosial mendakwa MDKT ditutup bermula Ahad ini susulan khabar angin mengatakan kakitangannya positif Covid-19.
Mengulas lanjut Saipol Rahman berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah mengambil maklum berkenaan kenyataan tular itu.
Jelasnya, pihak PKD dan IPD akan mengambil tindakan kepada sesiapa yang membuat kenyataan tular itu.
“Dinasihatkan kepada pihak berkenaan dan kita sendiri agar jangan buat hebahan dan tularkan maklumat belum ada pengesahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE