Tujuh lelaki ditahan bermain judi, pemilik premis dikompaun - Utusan Malaysia

Tujuh lelaki ditahan bermain judi, pemilik premis dikompaun

WANG tunai dan peralatan judi yang dirampas sepasukan anggota polis dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis permainan snuker di Bandar Springhill, Port Dickson semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polis menahan tujuh lelaki dan mengeluarkan satu kompaun ke atas pemilik premis dalam satu serbuan di sebuah pusat permainan snuker di Bandar Springhill dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua lelaki yang berumur dalam lingkungan 27 sehingga 57 tahun itu ditangkap atas kesalahan bermain judi dan pemilik premis dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pukul lebih kurang 8.10 malam, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat serbuan di Tingkat 1, sebuah pusat premis permainan snuker di Bandar Springhill.

“Apabila sampai, pasukan serbuan telah naik ke tingkat satu dan membuat pemeriksaan di dalam sebuah bilik premis tersebut dan telah menemukan tujuh lelaki sedang bermain judi jenis Gin Rummy,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan namun gagal mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu dengan tidak mencatat nama, suhu badan, nombor telefon serta tiada aplikasi kod respons pantas (QR Code) MySejahtera.

“Pasukan serbuan telah berjaya merampas sebuah meja, empat buah kerusi, 112 buah batu Gin Rummy, dua buah biji dadu dan wang tunai RM1,440.

“Kesemua tangkapan bersama tiga lelaki lain yang merupakan pelanggan serta seorang lelaki penjaga premis dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jelas Aidi Sham, kes disiasat dibawah Sekyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana bermain judi dalam bangunan manakala kompaun  yang dikenakan dibawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN