JOHOR BAHRU : Lelaki yang mendakwa polis Johor telah melakukan kekerasan terhadap tahanan dalam lokap adalah berniat jahat dan ingin memburukkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dakwaan pemilik akaun Facebook Ganesh Nadaraja yang menuduh lebih 200 tahanan lokap dipukul polis hingga menyebabkan kematian adalah tidak tepat.
Katanya, lelaki berusia 38 tahun itu berani membuat tuduhan tersebut ketika berada di luar negara dan ia di luar bidang kuasa PDRM.
“Dakwaannya 255 orang kena tuduh mati dalam lokap polis dari 2000 hingga 2014 adalah tidak benar. Kami pun tidak tahu daripada mana dia dapat statistik tersebut.
“Untuk Johor bagi tempoh yang sama, Ada 23 kes sahaja kematian dalam lokap yang disahkan sebagai mati mengejut kesan daripada pengambilan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Video berdurasi selama enam minit 56 saat yang dimuat naik semalam di akaun Facebooknya mendapat tontonan lebih 3,200 kali dan dikongsi 110 pengguna.
Ganesh yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan pernah ditangkap lima kali dari 2010 hingga 2017.
Ayob Khan berkata, lelaki itu mempunyai tujuh kes jenayah lampau antaranya membabitkan kesalahan Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, lelaki itu dipercayai telah keluar Malaysia pada November 2017 dan pernah berada di Qatar sebelum berpindah ke Jerman.
“Dia ini hanya berani membuat kenyataan tersebut kerana berada di luar negara. Kalau berani, pulang semula ke Malaysia untuk menghadapinya.
“Sudah jadi trend orang Malaysia membuat kenyataan memburukkan negara ketika sudah tinggal di luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata dakwaan lelaki tersebut mengatakan K. Haridas dipukul dalam lokap polis juga tidak benar kerana Haridas sendiri yang buat laporan beliau dipukul ketika dalam tahanan di lokap penjara Ulu Choh pada 24 November lalu.
“Dia sepatutnya dapatkan fakta yang betul sebelum membuat dakwaan. Lagi satu, Haridas ditahan bagi kes 2017 berkaitan kes jenayah ugutan dan bukannya kes menfitnah saya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya. -UTUSAN ONLINE