Tuah nelayan OKU tangkap 100 kg. ikan cencaru - Utusan Malaysia

Tuah nelayan OKU tangkap 100 kg. ikan cencaru

RIZAL Hashim (empat dari kanan) sambil dibantu rakan serta saudara-mara mengeluarkan ikan cencaru daripada jaring yang ditangkapnya di Pantai Puteri, Melaka, semalam. – UTUSAN/ AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di seluruh negara sejak 9 November lalu membawa rezeki melimpah ruah buat seorang nelayan dari Pantai Puteri, di sini.

Bayangkan jaring yang dilabuhkan kira-kira pukul 5 petang kelmarin berdekatan laluan kapal membawa tuah apabila dipenuhi ikan cencaru yang berat keseluruhan berjumlah 100 kilogram (kg).

Tidak tergambar wajah gembira Rizal Hashim, 49, sewaktu menarik jaring kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam de­ngan dibantu anak buahnya penuh sarat dengan ikan cencaru.

Dia yang juga nelayan orang kurang upaya (OKU) apabila hilang pergelangan tangan kanan akibat terkena mesin di kilang tempat dia bekerja 15 tahun lalu turut teruja sewaktu menarik jaring yang penuh dengan ikan tersebut.

“Sepanjang tahun ini terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, inilah hari paling bertuah saya berjaya menjaring ikan cencaru yang dianggarkan keseluruhan berjumlah 100kg.

“Alhamdulillah sudah rezeki saya dan anak-anak. Tidak pernah saya menjaring ikan yang begitu banyak. Apa pun saya bersyukur apa yang saya peroleh” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Puteri, petang semalam.

Bercerita ketika mahu mengangkat jaring tersebut, ujar Rizal, dia mengalami kesukaran untuk menarik peralatan itu biar pun dibantu anak buahnya kerana ikan yang banyak dan pada masa sama berdepan ombak kuat.

Katanya, dia mengambil masa hampir empat jam sebelum kesemua jaring yang dilabuhkan berjaya dibawa naik ke atas botnya.

“Biasanya selepas mengangkat jaring, ikan mula diasingkan tetapi melihat ikan yang dijaring terlalu banyak, saya terus memecut bot pulang ke pantai agar lebih mudah untuk mengeluarkan ikan daripada jaring,” ujarnya.

Sewaktu tiba di Pantai Puteri kira-kira jam 5 petang, dia terpaksa meminta tolong daripada saudara mara untuk membantu menge­luarkan ikan daripada jaring.

Tidak lama kemudian, Rizal sambil dibantu isterinya terus menjual ikan cencaru segar yang ditangkapnya berhampiran tempat botnya berlabuh dengan harga RM6 setiap kilogram.

Menurutnya, salah satu faktor ikan cencaru terlalu banyak juga akibat peralihan angin dan rezeki tersebut sekurang-kurangnya dapat menampung kehidupan dia sebagai nelayan sepenuh masa bersama isteri serta tiga orang anak.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya