Trend rasuah dijangka meningkat pasca pemulihan Covid-19 - Utusan Malaysia

Trend rasuah dijangka meningkat pasca pemulihan Covid-19

AZAM Baki mempengerusikan Mesyuarat ACTWG FoTC secara maya di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aktiviti penyeludupan, pemerdagangan serta kemasukan secara haram ke negara ini boleh berlaku setelah pembukaan semula pintu sempadan dibuat selepas wabak Covid-19 pulih.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, justeru, tindakan  penguatkuasaan serta aspek pencegahan efektif perlu dilaksanakan bagi menangani trend perlakuan rasuah dalam tempoh peralihan semasa dan pasca pemulihan Covid-19.

Perkara itu antara yang dicadangkan dalam Mesyuarat Anti-Corruption and Transparency Experts Working Group (ACTWG) Friends of The Chair (FoTC) bersama wakil daripada sembilan ahli ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Fasa pemulihan krisis Covid-19 akan membolehkan aktiviti perniagaan mula berkembang dan situasi ini bakal membuka ruang untuk berlakunya kegiatan rasuah.

“Sehubungan itu, ACTWG harus memastikan penguatkuasaan dan aspek pencegahan yang efektif dilaksanakan bagi menangani trend perlakuan rasuah sedemikian,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan  yang diadakan secara maya di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin.

Selain Malaysia, ahli ekonomi APEC yang menyertai mesyuarat itu ialah Chile, China, Thailand, Kanada, Amerika Syarikat (AS), New Zealand, Vietnam dan Australia, serta Sekretariat APEC yang berpangkalan di Singapura diwakili oleh Denisse Hurtado. 

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Pelan Strategik ACTWG 2019-2022 serta program kerja dan inisiatif New Zealand yang bakal menjadi tuan rumah APEC pada tahun 2021.

Dalam pada itu, Azam menzahirkan keyakinan bahawa New Zealand dapat menganjurkan APEC ACTWG dan Anti-Corruption Authorities and Law Enforcement Agencies (ACT-NET) pada tahun 2021 dengan jaya atas sokongan diberikan oleh ahli-ahli.

“Pertemuan ini juga merupakan permulaan baik untuk wakil sembilan ahli ekonomi APEC berkumpul dan membincangkan pelbagai inisiatif jangka panjang untuk ACTWG dan ACT-NET dalam perkongsian untuk membanteras rasuah dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Di samping itu, Azam turut berharap New Zealand mendapat manfaat daripada penganjuran ACTWG dan ACT-NET oleh Malaysia pada tahun ini sebagai penanda aras dan rujukan penting untuk penganjuran pada tahun hadapan.

Tambah beliau, perbincangan kali ini juga merupakan penghargaan kepada Malaysia sebagai tuan rumah APEC pada tahun ini yang mana SPRM sebagai peneraju mesyuarat ACTWG sejak siri pertama diadakan pada Februari lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya