Tinggal dadah bernilai RM1.4 juta - Utusan Malaysia

Tinggal dadah bernilai RM1.4 juta

WAN Nor Wan Mamat (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan dadah, mercun dan daun ketum dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Perlis, Kangar hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Memunggah dadah di kawasan sunyi sebelum barang terlarang tersebut ditinggalkan di kawasan lebuh raya untuk diambil oleh ahli sindiket lain dipercayai menjadi modus operandi kumpulan tersebut untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Taktik tersebut bagaimanapun dihidu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis yang berjaya merampas dadah jenis metaphetamine seberat 20 kilogram dan 20,000 pil ekstasi dianggarkan bernilai RM1.4 juta, pada Selasa lalu.

Dadah itu ditemukan dalam kotak bersama tepung gandum yang ditinggalkan di susur keluar Hentian Sebelah Tikam Batu Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul pukul 8 malam.

Rampasan tersebut merupakan yang terbesar bagi JKDM negeri bagi tahun ini.

Pengarah Kastam negeri, Wan Nor Wan Mamat berkata, hasil pemeriksaan mendapati metamphetamine tersebut disembunyikan dalam bungkusan teh cina manakala ekstasi pula di dalam bungkusan di dalam sebuah kotak.

“Dadah jenis metamphetamine dan ekstasi itu masing-masing dianggarkan bernilai RM800,000 dan RM600,000. 

“Sindiket ini disyaki memunggah dadah di kawasan sunyi dan barang tersebut dipercayai akan diambil oleh ahli sindiket yang lain untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Tiada tangkapan yang dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Perlis hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Nor memberitahu, pihaknya telah menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum melibatkan rampasan keseluruhan sebanyak 1,070 kilogram dengan anggaran nilai RM42,100 dalam empat rampasan berasingan di sekitar Kuala Perlis pada 5 dan 6 November lalu.

Katanya, rampasan terbesar adalah pada 5 November lalu melibatkan 60 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 740 kilogram bernilai kira-kira RM37,000 yang cuba diseludup menggunakan sebuah sampan fiber tidak bernombor di muara sungai Kuala Perlis pada pukul 8 malam.

“Rampasan kedua pula melibatkan 30 kilogram daun ketum yang diisi dalam tiga plastik putih dengan anggaran nilai RM300 yang ditemukan dalam sampan tidak bernombor di Tambatan Kampung baru Tandiap pada pukul 3.10 pagi, 6 November.

“Pada hari yang sama juga, Kastam turut menemukan bungkusan-bungkusan plastik hitam berisi 180 kilogram daun ketum bernilai RM3,600 semasa membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang diletakkan di kawasan Terminal RORO Kuala Perlis pada pukul 8 pagi.

“Turut dirampas pada hari sama adalah beberapa bungkusan plastik hitam berisi 120 kilogram daun ketum bernilai RM1,200 yang ditemukan pegawai kastam ketika membuat pemeriksaan di kawasan Terminal Feri Kuala Perlis kira-kira pukul 8.30 pagi,” katanya.

Tambahnya, keempat-empat kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya