GEORGETOWN : Kerajaan diminta mempertimbang semula kebenaran pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar dari Akaun 1 sebanyak RM500 sebulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB).
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd. Sophian Md Zain berkata, pengeluaran wang KWSP secara bersasar itu tidak membantu meringankan beban majoriti rakyat yang kini berdepan tekanan ekonomi akibat PKPB.
Malah, kata beliau, kebenaran pengeluaran secara langsung atau one off dalam jumlah bersesuaian dilihat lebih sesuai dalam membantu majoriti rakyat yang memerlukan bantuan kewangan untuk berbelanja ketika ini.
“Cuba bayangkan jika kita bekerja dan majikan bayar gaji kepada kita secara ansuran empat kali dalam sebulan.
“Apa yang kita boleh boleh buat dengan wang itu, pasti ia akan tambah membebankan lagi,” katanya di sini semalam.
Jumaat lalu, kerajaan menerusi Bajet 2021 mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.
Sehari selepas pembentangan Bajet 2021, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.
Hanya tiga negeri tidak terlibat dengan PKPB berkenaan iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.
Menurut Mohd. Sophian pengumuman pengeluaran Akaun 1 secara bersasar itu juga boleh dianggap sekadar memberi gula-gula kepada rakyat terutama golongan B40.
“Duit yang diambil secara bulanan sudah pasti tidak akan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.
“Pada masa sama, wang simpanan juga akan berkurangan untuk masa depan mereka nanti,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pencarum KWSP, Mohd. Anuar Hamid, 50, berkata, pengeluaran Akaun 1 secara bersasar itu sebenarnya untuk menyelamatkan pencarum daripada mengalami masalah ketika usia persaraan mereka.
“Ia bergantung kepada kebijaksanaan pencarum merancang masa depan mereka, kalau mereka rasa amat memerlukan wang pada masa PKPB ini mereka boleh memohon dan gunakan sebaik mungkin,” katanya. -UTUSAN ONLINE