PORT DICKSON: Sebanyak tiga buah rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Batu 6, Lukut dekat sini petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor yang memaklumkan ada kejadian banjir pada pukul 7 malam tadi.
“Kami menerima panggilan pada pukul 7 malam tadi, anggota tiba lokasi pada pukul 7.15 malam.
“Bagaimanapun, apabila anggota kami tiba air sudah mulai surut. Kami merasakan banjir kilat berkenaan disebabkan kawasan perparitan tidak boleh menampung air yang banyak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Mohamad Azri, pihaknya ada meminta penduduk terbabit untuk berpindah namun enggan dan mereka mahu tinggal di rumah.
“Kami ada minta penduduk pindah namun mereka mahu tinggal di rumah memandangkan hujan mulai renyai,” katanya.
Beliau juga menasihatkan agar penduduk sentiasa berjaga-jaga dan menghubungi pihak APM dengan kadar segera sekiranya berlaku semula banjir kilat. -UTUSAN ONLINE