JOHOR BAHRU: Tiga pengikut Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini termasuk ketuanya, Sallahuddin Mashkuri diarah memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana melanggar arahan pihak berkuasa yang menjalankan urusan agama.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, JAINJ telah mengeluarkan dua surat perintah untuk hadir berbuat demikian kepada individu berkenaan.
“Surat berkenaan telah diserahkan kepada ibu pejabat HTM (Bangi, Selangor), namun sehingga kini tiada jawapan diterima daripada gerakan itu.
“Oleh yang demikian JAINJ akan bekerjasama dengan Jabatan Agama negeri terbabit untuk mengambil tindakan lanjut kepada ketiga-tiga individu berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.
Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut.
Sebelum ini Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti 45 individu yang terlibat dengan gerakan itu di negeri ini termasuk ketua mereka. – UTUSAN ONLINE