Tiga lelaki ditahan bungkus ketum

Tiga lelaki ditahan bungkus ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang pengusaha tanaman pokok ketum bersama dua pekerjanya yang merupakan warga Myanmar ditahan ketika sedang membungkus daun ketum di sebuah bangsal di belakang sebuah rumah di Changai, Jeniang dekat sini baru-baru ini.

Pengusaha tanaman ketum yang berusia 31 tahun juga dipercayai merupakan seorang pemborong daun ketum di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, tiga lelaki itu ditahan ketika polis melakukan serbuan ke bangsal tersebut pada pukul 5 petang, 28 Oktober lalu.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan setelah mendapati lelaki terbabit dipercayai menjadi pemborong daun ketum untuk dibekalkan ke Kelantan sebelum diseludup ke Thailand.

Sementara itu, katanya, dua warga Myanmar yang berusia 30 dan 32 tahun yang tidak mempunyai dokumen yang sah itu pula mengambil upah memungut dan membungkus daun ketum dengan bayaran RM2 sekilogram.

“Dalam serbuan, lelaki tempatan dan dua rakyat asing itu cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di sini hari ini.

Abdull Razak memberitahu, polis juga berjaya merampas 105 kilogram daun ketum yang bernilai RM1,050 di bangsal tersebut.

“Harga pasaran daun ketum ialah RM10 sekilogram dan harga di Thailand pula boleh mencecah RM70 sekilogram,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, hasil siasatan, lelaki tersebut membeli daun ketum daripada penduduk tempatan yang mengusahakan tanaman pokok ketum secara kecil-kecilan di daerah ini.

Jelasnya, lelaki itu dipercayai menjadi pemborong daun ketum sejak setahun lalu dan selalu mengubah tempat operasi pengumpulan daun ketum untuk mengabui pihak berkuasa.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya