Tiga konco Geng Ayip Gagap didakwa - Utusan Malaysia

Tiga konco Geng Ayip Gagap didakwa

KETIGA-tiga tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga ahli kumpulan ‘Geng Ayip Gagap’ termasuk seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 12 pertuduhan mencuri, menjual dan melupuskan motosikal curi. 

Kesemua tertuduh, Muhammad Fariq Abd. Ghani, 24; Mohd. Iswadi Nordin, 32, dan  Mohd. Faris Aisar Nordin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh dan Mazana Sinin.

Mengikut tujuh pertuduhan terhadap Muhammad Fariq dan satu pertuduhan masing-masing terhadap Mohd. Iswadi dan Mohd. Faris, kesemua mereka didakwa telah menyembunyikan, memiliki, melupuskan harta curi dan menjual motosikal dalam daerah Melaka Tengah antara 27 Jun 2018 sehingga 2 November lalu. 

Bagi kesalahan itu, Muhammad Fariq didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. 

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan memiliki atau menyimpan sepasang rim motosikal di lokasi sama pada 30 Oktober lalu. 

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali. 

Selain itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah motosikal bersama-sama seorang yang masih bebas antara pukul 7.30 malam pada 27 Mac sehingga 6.45 pagi pada 28 Mac lalu di Taman Seri Cempaka, Peringgit.

Tertuduh juga didakwa telah menghalang tugas seorang pegawai polis dengan tidak memberikan kerjasama dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan terakhir, Muhammad Fariq turut didakwa di bawah Peraturan 25(1)(a) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pegawai polis.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman manakala Peguam Datuk Arravin Raj dan Zulkifli Zakaria mewakili kesemua tertuduh. 

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,600 ke atas Muhammad Fariq, manakala RM2,500 terhadap Mohd. Iswadi dan Mohd. Faris Aisar sebanyak RM1,800. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 dan 26 Januari tahun depan. 

Utusan Malaysia pada 13 November lalu melaporkan polis berjaya menumpaskan tujuh ahli Geng Ayip Gagap yang giat menjalankan kegiatan mencuri motosikal sekitar di daerah ini untuk dilerai dan dijual di Facebook sebagai alat ganti sejak dua bulan lalu.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya