PUTRAJAYA: Tiga naskhah e-buku hasil karangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan dicetak bagi memberi peluang kepada kelompok B40 menjana pendapatan sampingan.
E-buku berkenaan adalah Inilah Doaku, Soal Jawab Fiqh Covid-19 dan Covid-19 Fiqh Q&A.
Menerusi kenyataan kementerian berkenaan, pihaknya sudah mendapat keizinan daripada Zulkifli selepas perbincangan dilakukan.
Bagaimanapun jelas kenyataan itu, mana-mana pihak yang mahu mencetak e-buku itu perlu memaklumkan permohonan secara bertulis sebelum mencetak, melalui emel [email protected].
“Hal ini bagi memastikan tiada sebarang ubah suai dilakukan pada e-buku berkenaan, disamping dapat disebarkan seluas mungkin dengan harga yang amat minimum.
“Kami menyedari sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat di samping beberapa permohonan untuk mencetak e-buku ini bagi tujuan pendapatan sampingan terutamanya bagi kelompok B40 yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” jelasnya.
Jelas kenyataan itu, pihaknya tidak akan meminta atau menerima apa jua hasil daripada keuntungan jualan tersebut.
Menurutnya, syarat permohonan mencetak itu adalah sekadar makluman untuk tujuan rekod dan bagi memastikan segala cetakan yang dibuat adalah di dalam pengetahuan pihaknya.
“Sebelum ini, tiga e-buku itu hanya dicetak dalam jumlah terhad sebagai naskhah hadiah untuk diagihkan secara percuma dan tidak pernah menerbitkan naskhah tersebut untuk tujuan komersial.
“Malah setiap naskhah buku yang diterbitkan pihak pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri termaktub di dalamnya ayat peringatan iaitu tidak dibenar cetak kecuali mendapat keizinan,” jelasnya.
Kenyataan itu menambah, pihak kementerian berharap penerbitan buku itu kelak dalam membantu usaha Kempen Kesedaran Covid-19 oleh kerajaan selain memberi manfaat kepada rakyat negara ini dan umat Islam khususnya. – UTUSAN ONLINE