LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak mengusir tiga bot nelayan Indonesia dinaiki 17 rakyat negara jiran itu yang menceroboh perairan negara pada Khamis lalu dan kelmarin.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot pertama bersama lima kru termasuk tekong diusir oleh Kapal Maritim (KM) Tugau yang dalam rondaan dan penguat kuasaan Op Benteng sekitar perairan Perak pada Khamis lalu.
Katanya, pada kelmarin pula, KM Tugau mengusir sebuah lagi bot nelayan bersama enam kru termasuk tekong pada kedudukan 16.4 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
Katanya, beberapa jam kemudian, sebuah lagi bot nelayan Indonesia yang dinaiki enam kru termasuk tekong diusir pada kedudukan 24.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
“Maklumat pengesanan bot kedua nelayan Indonesia telah diterima melalui Pusat Operasi Komponen Maritim (MCOC), Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pesawat udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia, bagi memastikannya benar-benar keluar dari perairan negara.
“Empat pengusiran telah dilakukan dalam tempoh 10 hari yang melibatkan pencerobohan oleh bot nelayan Indonesia dengan pengusiran pertama dilakukan pada 31 Oktober lalu,” tambahnya.
Menurut Shahrizan, pengusiran terhadap nelayan asing itu adalah tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan COVID-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.
Beliau memohon kerjasama orang awam dan komuniti maritim iintuk bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI.
Maklumat membabitkan tekong, ejen serta tali barut boleh disalurkan ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737. -UTUSAN ONLINE