REMBAU: Dua premis yang dipercayai terbabit dalam aktiviti judi ekor haram di daerah ini yang masih tidak serik-serik diserbu polis akhirnya dipotong bekalan elektrik.
Ia menerusi Operasi Pemotongan Bekalan Elektrik yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau hari ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Anuar Bakri Abdul Salam berkata, lebih lima kali serbuan dan tangkapan dilakukan di premis perniagaan berkenaan kerana bersengkokol serta membenarkan aktiviti judi ekor haram dijalankan.
Menurutnya, operasi pemotongan bekalan elektrik berkenaan merupakan kali pertama dilakukan di daerah Rembau bertujuan untuk mengawal atau menghalang aktiviti judi ekor haram daripada terus beroperasi.
“Operasi ini telah dijalankan dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di mana tindakan ini adalah mengikut Seksyen 21a Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
“Operasi telah dilakukan di dua buah premis iaitu di Taman Dato’ Lela Maharaja, Chembong dan Pekan Rembau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar Bakri berkata, tindakan pemotongan berkenaan merupakan antara usaha dilakukan pihaknya bagi membendung penganjur untuk meneruskan kegiatan aktiviti perjudian.
“Malah kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang sentiasa membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat.
“Kami amat mengalu-alukan kepada orang awam yang ingin menyalurkan sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau ditalian 06-6851999. -UTUSAN ONLINE