"Tidak pernah pudar hormat dan kasih saya kepada beliau" - Maszlee  - Utusan Malaysia

“Tidak pernah pudar hormat dan kasih saya kepada beliau” – Maszlee 

MASZLEE Malik memuat naik gambarnya bersama Dr. Mahathir dalam Facebook beliau hari ini. -Gambar: Facebook Dr. Maszlee Malik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dr. Maszlee Malik menegaskan rasa hormatnya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah luntur walaupun berbeza pandangan politik.

Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, beliau amat menghormati negarawan tersebut yang telah banyak menabur jasa kepada tanah air ini.

“Meskipun wadah dan fahaman politik kita berbeza, sentiasa ada sosok yang layak kita tumpahkan hormat kerana jasa besar mereka buat kita, buat negara, teramatlah banyak.

“Sentiasa tak kurang maruah dan keperibadian kita, saat kita sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbeda dengan kita dalam apa perkara sekalipun.

“Doa saya buat Tun sentiasa terutus dan hubungan baik antara saya dan beliau juga akan terus terpelihara. Tak pernah ada kebencian, apalagi dendam dan amarah walau sekelumit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir kerana melantik sebagai Menteri Pendidikan walaupun tempoh 20 bulan sebelum diminta memulangkan jawatan kepada beliau pada 3 Januari lalu.

Ujarnya, tempoh 20 bulan cukup membuka mata dan kesedaran sehingga menumbuhkan tekad yang kuat di hati bahawa perjuangan pendidikan adalah satu kefarduan.

“Fardu ini tidak boleh berhenti, walau siapa pun saya dan dimana pun saya berada,” tambah beliau.

Maszlee menambah Dr. Mahathir pernah menasihatkan beliau bahawa politik ialah kerja-kerja membangun bangsa dan negara sebaik sahaja pertama kali melangkah dalam dunia itu.

“Beliau juga ada beritahu, realiti politik adalah berbeza dengan segala teori yang saya ajarkan dan tuliskan lewat kehidupan akademik dahulu,” katanya.

Menyentuh soal masa depannya, Maszlee memberitahu perjuangan baharunya sudah bermula dan tumpuan hakiki di Simpang Renggam serta tentunya memulakan gerakan perubahan pendidikan berskala besar.

“Kerana saya percaya masa depan negara bergantung kepada pendidikan negara. Rosak pendidikan, rosaklah masa depan.

“Saya juga yakin kedudukan juga kuasa bukanlah penentu kepada keberlangsungan perubahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN