PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia mengingatkan majikan bahawa tiada pihak ketiga atau vendor dilantik bagi mengurus Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Sebaliknya pelan yang baru dilaksanakan sejak 16 November lalu diuruskan terus oleh dua kementerian meliputi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang.
“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan pelan ini tidak dieksploitasi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Ia seterusnya menambah, kementerian itu memandang serius isu itu dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang didapati sengaja mengambil kesempatan tersebut.
Ini ujar kenyataan itu lagi, bagi mengelakkan berlaku manipulasi terhadap majikan atau PATI yang terlibat dalam dua program tersebut, malah tindakan undang-undang boleh dikenakan.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 7, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang jika sabit kesalahan didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara maksimum tiga tahun,” katanya.
Sejak program itu bermula, kementerian berkenaan yang bertanggungjawab meluluskan kuota kelayakan telah pun menerima 113 permohonan majikan dan melibatkan 17,292 pekerja.
Rekalibrasi tersebut antara kerjasama kementerian itu menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dengan Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia.-UTUSAN ONLINE