Tiada laporan jangkitan babit sarung tangan Top Glove - Utusan Malaysia

Tiada laporan jangkitan babit sarung tangan Top Glove

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada sebarang laporan mengenai sarung tangan getah buatan kilang Top Glove dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya percaya perkara itu tidak berlaku berikutan proses yang perlu dipatuhi membabitkan pembuatan produk terbabit.

“Mengenai sarung tangan getah, kita lihat tiada laporan mengenai jangkitan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, semua pekerja kilang terbabit yang positif sudah diasingkan dan menerima rawatan.

Katanya, pekerja lain yang negatif tetapi terdedah dengan kes positif sedang menjalani kuarantin 14 hari.

“Malah sejak semalam, kumpulan pertama pekerja kilang berkenaan sudah disaring dan proses saringan masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan produk kilang berkenaan selepas pekerja mereka terbabit dalam Kluster Teratai.

Sehingga kini, Kluster terbabit merekodkan sebanyak 4,124 kes positif termasuk pertambahan 31 kes baharu.

Kementerian sudah melakukan saringan kepada 6,553 individu selepas Kluster Teratai mula dikesan pada 7 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN