KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap usaha menentang Belanjawan 2021 di peringkat jawatan kuasa tidak akan memberi impak terhadap Perikatan Nasional (PN) walau pun iditambah baik.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sebaliknya menyifatkan tindakan tersebut hanyalah strategi untuk mengalihkan pandangan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang.
Rentetan tindakan sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Belanjawan 2021 kelmarin, beliau menganggapnya pelik kerana pembangkang sendiri berusaha untuk menjatuhkan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin melalui undi tidak percaya di Parlimen.
“Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.
“Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir berkata, nilai demokrasi berperlembagaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) yang menjadi teras kepada pembentukan kerajaan sudah tidak bermakna lagi kerana terdapat pihak yang cuba ‘membeli’ ahli Parlimen dalam usaha memastikan Belanjawan 2021 diluluskan.
Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, pendiriannya untuk menolak Belanjawan 2021 tidak akan berubah kerana beliau dan partinya tidak melihat sebarang kebaikan untuk jangka masa panjang kepada negara dalam usaha menangani krisis ekonomi serta membantu sektor perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri. Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuhkan kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah.
“Tidak dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula ditawar untuk dapat sokongan. Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-galanya boleh dibeli dengan duit termasuklah Kerajaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE