GEORGETOWN: Tiada kes positif Covid-19 direkodkan setakat ini membabitkan pekerja warga asing di tapak pembinaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, bagaimanapun pihaknya akan meningkatkan pemantauan di kawasan tapak-tapak pembinaan di negeri ini bagi memastikan bebas wabak Covid-19.
“Setakat ini, Pulau Pinang mempunyai sembilan kluster aktif, namun tidak melibatkan pekerja-pekerja warga asing di tapak pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan peningkatan jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan membabitkan pekerja warga asing khususnya di Kuala Lumpur yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan.
Terbaru, kemunculan Kluster Tapak Bina Damanlela di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur yang mencatatkan 460 kes pada 15 November lalu dan kelmarin kes masih di tahap membimbangkan iaitu dengan 385 kes baharu.
Menurut Jagdeep, sebelum ini Pulau Pinang telah mewajibkan kesemua pekerja warga asing untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Sejak awal lagi, kita telah mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak ini dalam kalangan pekerja di tapak pembinaan.
“Pada April lalu, kira-kira 15,000 pekerja asing di tapak pembinaan telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan kita akan lihat perkembangan terkini jika ada keperluan untuk menyaring semula mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Jagdeep berkata, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh seluruh rakyat di negeri ini terus konsisten dan tinggi.
“Secara keseluruhan sehingga hari ini, kedua-dua Majlis Bandaraya iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengadakan sebanyak 1.09 juta pemeriksaan.
“Kadar pematuhan adalah didapati pada kadar 99.69 peratus di bahagian pulau manakala pematuhan pada 99.36 peratus di kawasan Seberang Perai,” katanya.-UTUSAN ONLINE