TEMERLOH: Syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Anih Bhd. (Anih) menafikan penularan gambar dalam media sosial yang mendakwa kejadian banjir di Kilometer 113.3 arah timur LPT 1.
Menurut kenyataan syarikat berkenaan hari ini, gambar banjir berkenaan adalah kejadian lama.
“Sehubungan itu, syarikat memohon supaya orang ramai tidak menyebarkan gambar tersebut kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan suasana panik.
“Pengguna dinasihatkan melayari Twitter di @LPTTrafik dan Facebook LPT untuk keadaan trafik terkini dan boleh menghubungi talian LPT-Line di 1700818700 atau 095479111 untuk sebarang pertanyaan,” kata kenyataan itu.
Hari ini tular dalam media sosial Facebook dan WhatsApp tentang dakwaan berlaku kejadian banjir di Kilometer 113.3 arah timur LPT 1.
Penularan berita palsu itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna lebuh raya berkenaan sehingga ada yang membuat panggilan ke pusat kawalan trafik. -UTUSAN ONLINE