GEORGETOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu pihak pengurusan lot kedai dan tapak perniagaan di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini tidak menyediakan insentif kepada penyewanya buat masa ini.
Ini kerana, menurut Pengurus Kanan Bahagian Korporatnya, Aznita Zainuddin, aktiviti ekonomi masih tetap berjalan ketika ini meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di negeri ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, PDC sebelum ini iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu telah memberikan bantuan di bawah Pakej Insentif Penang Lawan Covid-19 kepada penyewa terlibat.
“PDC telah memberikan tiga bulan pengecualian sewa iaitu bagi bulan April, Mei dan Jun lalu kepada penyewa gerai dan kiosk manakala diskaun sewa sebanyak 30 peratus bagi tempoh sama diberikan untuk penyewa lot komersial,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beberapa peniaga di tapak perniagaan dan lot kedai di pekarangan Komtar sebelum ini merayu supaya penangguhan sewa atau diskaun sewa kepada mereka dapat diberikan kepada mereka berikutan PKPB yang dikenakan ketika ini.
Ini kerana majoriti mereka tidak mampu membayar sewa dan gaji pekerja selepas hasil jualan susut mendadak dengan ada daripadanya yang menunggu masa untuk menutup perniagaan dan menyerahkan semula lot premis disewa kepada PDC.
Dalam pada itu, Aznita berkata, terdapat sebanyak 80 penyewa lot komersial dan 47 penyewa gerai atau kiosk di bawah pengurusan PDC ketika ini. -UTUSAN ONLINE