JOHOR BAHRU : Tiada kejadian banjir berlaku manakala tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini memandangkan keadaan cuaca di negeri ini telah kembali pulih.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor memaklumkan, setakat pukul 4 petang, tiada kejadian dilaporkan berlaku.
“ PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 merupakan pusat penempatan terakhir yang ditutup pada Isnin lalu. Setakat ini tiada kejadian banjir yang berlaku di seluruh negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada minggu lalu, hujan lebat yang melanda negeri ini telah menyebabkan beberapa daerah seperti Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian dilanda banjir kilat sekali gus menyebabkan beberapa penduduk terpaksa dipindahkan sementara di PPS. -UTUSAN ONLINE