Tiada aktiviti tebang balak di Hutan Hulu Muda  - Utusan Malaysia

Tiada aktiviti tebang balak di Hutan Hulu Muda 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR : Pejabat Menteri Besar Kedah (PMB) menolak tuduhan kononnya  terdapat aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai Hutan Perlindungan dan Hutan Simpan Kekal di Kompleks Hutan Hulu Muda, Sik dekat sini.

PMB dalam satu kenyataan hari ini berkata, tuduhan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat dan Hulu Muda telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Ditegaskan,  Hutan Simpan Bukit Keramat di Padang Terap adalah tidak termasuk dalam Kawasan Kompleks Hutan Hulu Muda di Sik seperti dakwaan NGO terbabit.

“Pihak NGO berkenaan seharusnya  menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam kenyataan mereka dan tidak mencetuskan kekeliruan dalam pemikiran masyarakat berkaitan apa yang didakwa,” kata.

PMB berkata demikian sebagai mengulas satu kenyataan akhbar oleh beberapa NGO  bertajuk “NGO terkilan dengan aktiviti pembalakan di Kompleks Hutan Hulu Muda’ bertarikh 24 November disebarkan hari ini.

Turut dilampirkan bersama kenyataan akhbar itu ialah dua imej satelit yang didakwa memaparkan imej kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berhampiran Empangan Ahning di Padang Terap.

PMB menambah, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 17 November dan mengesahkan tiada sebarang salah laku atau tebangan di luar kawasan yang diluluskan, berlaku di situ.

“Justeru, tidak timbul sebarang isu pelanggaran undang-undang sebagaimana kebimbangan pihak NGO berkenaan kononnya pembalakan itu boleh menjejaskan hak  kerajaan Kedah untuk menerima dana Kerajaan Persekutuan dan antarabangsa bagi pelindungan sumber hutan, “ jelasnya.

Menurutnya, kawasan pembalakan yang menjadi fokus NGO berkenaan diluluskan secara sah bagi ‘swapping’ dengan syarikat Tradewind melalui keputusan Jawatan Kuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB)  dalam mesyuarat bertarikh 1 Ogos 2017.

“Setelah diberi kelulusan, hasil hutan di kawasan berkenaan perlu dikeluarkan sebelum penyerahan hak milik tanah kepada syarikat Tradewinds dilaksanakan.

“Aktiviti pembalakan yang dijalankan di Hutan Simpan Bukit Keramat dilaksanakan secara tebang habis bagi tujuan ‘swapping’ untuk dijadikan tanah bermilik syarikat Tradewinds,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, katanya, Hutan Simpan Bukit Keramat adalah hutan simpan jenis darat berada bawah pentadbiran Jabatan Perhutanan  Daerah Kedah Utara dengan keluasan 11,105 hektar dan diwartakan sebagai Hutan Simpan pada 17 Januari 2013.

“Hutan Simpan Bukit Keramat terbahagi kepada dua kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Pelindungan. Hutan Pengeluaran  dengan keluasan 5,899 hektar adalah kawasan di mana hasil kayu boleh dikeluarkan manakala Hutan Pelindungan seluas 5,206 hektar adalah digazetkan sebagai kawasan hutan tadahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya