Terus patuhi SOP walaupun PKPB Johor tamat - Utusan Malaysia

Terus patuhi SOP walaupun PKPB Johor tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Rakyat Johor diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing ditamatkan bermula esok.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, virus Covid-19 masih ada di sekeliling masyarakat selagi vaksin atau ubatnya belum berjaya ditemukan. 

“Justeru itu bersama-samalah kita mengekang dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ini.

“Bagi rakyat yang tinggal di Kota Tinggi dan Mersing yang masih dikenakan PKPB, patuhilah semua SOP yang ditetapkan supaya penularan virus ini dapat dikawal dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan esok lebih awal berbanding 6 Disember depan seperti diumumkan sebelum ini.

Bagaimanapun beberapa daerah seperti Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor masih dikenakan PKPB.

Hasni menambah, keputusan penamatan PKPB di negeri ini adalah amat dinanti-nantikan oleh rakyat Johor.

Malah katanya keputusan itu juga mencerminkan betapa Kerajaan Persekutuan memahami suara hati rakyat, khususnya saranan Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini supaya PKPB dilaksanakan secara bersasar.

“Ini diterjemahkan apabila PKPB secara bersasar dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai jangkitan tinggi iaitu di daerah Kota Tinggi dan Mersing,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata keputusan yang diumumkan itu pasti memberi kelegaan kepada orang ramai termasuk rakyat Johor.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mengesyorkan agar PKPB yang dilaksanakan mulai 9 November lalu dapat dilakukan secara bersasar.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya