ISKANDAR PUTERI: Mana-mana 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor berhak mengusulkan usul pemotongan gaji sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan.
Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, sebarang cadangan boleh dikemukakan mereka sewaktu sesi perbahasan selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2021.
“Jika mengikut peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebarang usul perlu dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh bersidang.
“Namun setiap ADUN boleh memberikan sebarang cadangan sewaktu sesi perbahasan berlangsung kerana setiap mereka mempunyai masa 20 minit untuk berbahas,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini.
Semalam, bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mencadangkan gaji wakil rakyat Johor dipotong 10 peratus bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri susulan krisis pandemik Covid-19 yang dihadapi masa kini.
ADUN Kempas itu mencadangkan gaji Menteri Besar perlu dipotong 20 peratus manakala Exco pula sebanyak 15 peratus.
Menurut Suhaizan lagi, keputusan sama ada ingin memotong gaji bergantung kepada Kerajaan Negeri sama ingin meluluskan cadangan itu atau sebaliknya.
“Mesyuarat exco kena bincang perkara ini. Jika ada keputusan, baru diserahkan kepada pejabat DUN untuk proses pemotongan,” katanya.
Menyentuh mengenai perjalanan DUN yang bermula 26 November sehingga 6 Disember ini, Suhaizan berkata, sidang itu akan dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Katanya lagi, kesemua ADUN diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan hadir ke persidangan itu malah ia termasuk melibatkan petugas media.
“Tiada lagi pemerhati bagi sidang DUN kali ini kerana mahu memastikan jumlah kehadiran pada sidang DUN kali ini tidak terlalu ramai.
“Sebelum ini pemerhati terdiri daripada penyokong, pegawai-pegawai ADUN dan rakyat seperti pelajar sekolah yang membuat lawatan,” katanya.
Suhaizan menjelaskan tiada pengurangan masa tempoh sidang dan DUN berjalan seperti biasa dengan jumlah masa perbahasan seperti yang diberikan sebelum ini iaitu 20 minit bagi setiap wakil rakyat. – UTUSAN