PADANG BESAR: Pandemik Covid-19 yang masih belum ada tanda-tanda untuk pulih terus memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Namun masih ramai dalam kalangan rakyat pantas bangkit mencari inisiatif menjana pendapatan bagi meneruskan kesinambungan hidup.
Seorang peneroka dari Felda Chuping, Abdul Khair Hashim, 67, mengambil inisiatif mengusahakan ternakan ayam kampung di kebun getah miliknya bagi mencari pendapatan tambahan berikutan harga getah tidak menentu.
Idea menternak ayam itu tercetus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dengan peringkat permulaan hanya sekitar 10 ekor ayam sahaja yang dilepas di kawasan kebun getah tersebut.
Kini, selepas tiga bulan mengusahakan ternakan tersebut, ayam kampung yang dipelihara Abdul Khair sudah mencecah lebih 2,000 ekor dan dia mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan melalui jualan ayam-ayam berkenaan.
Abdul Khair memanfaatkan ruang kebun getah seluas 2.4 hektar miliknya itu dengan membina kira-kira lapan reban ayam di lorong-lorong kawasan pokok getah itu, sekali gus tidak mengganggu tanaman tersebut.
Hasil kegigihan bapa kepada empat orang anak itu dalam mencari rezeki, dia kini bukan sahaja memperoleh hasil daripada menoreh getah, malah mampu menambah pendapatan melalui ternakan ayam tersebut.
Katanya, menyedari hasil getah yang tidak menentu mendorong dia untuk memanfaatkan ruang di kawasan kebun tersebut dengan ternakan ayam selain menanam serai wangi, halia serta beberapa jenis tanaman lain.
“Bermula dengan lima hingga 10 ekor ayam, saya kemudian membeli 500 ekor anak ayam dan mula membina reban di kawasan ini.
Dalam dua bulan, ayam yang diternak itu sudah boleh dijual.
“Saya mampu menjana pendapatan daripada hasil ternakan ayam ini antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Malah, serai dan tanaman lain juga membawa pulangan. Dulu, hasil getah hanya sekitar RM600 hingga RM800 sahaja sebulan, dengan ternakan tersebut saya mampu menambah pendapatan,” katanya ditemui Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan menyeru peneroka khususnya golongan belia menceburi bidang ternakan bagi menjana pendapatan tambahan.-UTUSAN ONLINE