KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal daripada jadual asal.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan itu akan dipertimbangkan Perdana Menteri dalam mesyuarat di Putrajaya.
“Saya telah bertemu Perdana Menteri pada Ahad lalu dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan Covid-19 di Terengganu memohon supaya PKPB dapat ditamatkan.
“Hari ini saya sekali lagi mengutarakan kedudukan terkini Covid-19 di Terengganu dan alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara atas talian yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut berterima kasih kepada kepemimpinan UMNO Terengganu yang bertemu dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyuarakan perkara sama.
Katanya, inisiatif itu sekali gus menggambarkan kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama.
“Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, InsyaAllah,” katanya. -UTUSAN ONLINE