JOHOR BAHRU : Sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza yang dinaiki dua juruterbang warga Singapura terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di atas Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak setelah terdengar bunyi letupan kecil di bahagian enjin.
Difahamkan ketika kejadian, juruterbang, Yang Kuang Ying, 52, bersama rakannya, Saleehullah Abdul Majid, 41, baharu sahaja memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura menuju ke Lapangan Terbang Senai.
Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Menurut sumber, mereka terpaksa membuat pendaratan dengan selamat di KM49 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 11.13 pagi.
“Ketika berada pada ketinggian 5,000 kaki, mereka terdengar bunyi letupan kecil di bahagian enjin pada 11.05 pagi yang memaksa mereka buat pendaratan cemas.
“Rekod penerbangan mereka di negeri ini kali terakhir direkodkan pada pukul 10.50 pagi dari Senai menghala ke Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun usaha Utusan Malaysia untuk menemuramah Kuang Ying dan Saleehullah gagal kerana mereka enggan bertemu dengan pemberita.
Dalam pada itu, Penolong Penguasa Bomba Ashyraf Nur Mohd. Yusuff, Balai bomba dan Penyelamat Simpang Renggam menerima panggilan kecemasan daripada PLUS Ronda dan Polis Trafik Kulai berhubung perkara tersebut sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan 10 anggota.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi pada 11.32 pagi, terdapat sebuah pesawat ringan telah membuat pendaratan cemas di laluan kecemasan di sebelah kiri lebuh raya berkenaan hingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya.
“Hasil pemeriksaan mendapati pesawat tersebut tidak mengalami sebarang kebakaran manakala dua juruterbang tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tindakan awal yang diambil ialah kita bersama anggota polis membantu menolak pesawat ringan tersebut yang menghalang laluan sebelah kiri lebuh raya berkenaan ke kawasan lapang bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
“Kita mengambil masa setengah jam untuk menolak pesawat ringan berkenaan sejauh 100 meter dari tempat kenderaan itu mendarat ke kawasan lapang tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.-UTUSAN ONLINE