Terdapat tiga pemohon PCA positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Terdapat tiga pemohon PCA positif Covid-19

R. Vidyananthan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Terdapat tiga individu yang pulang ke negara ini menerusi Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dikesan positif Covid-19 sejak inisiatif rentas sempadan itu mula dilaksanakan pada Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, mereka dikesan positif setelah menjalani ujian pengesanan Covid-19 di pintu masuk sebelum memasuki negara ini.

“Seperti mana semua sedia maklum, bermula 17 Ogos lalu, terdapat dua skim baharu yang diperkenalkan bagi membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura merentas sempadan iaitu skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan PCA.

“Sehingga 10 November lalu, jumlah pelawat yang masuk melalui skim RGL adalah sebanyak 2,137 manakala 12,758 orang di bawah PCA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, manakala PCA membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu dalam tempoh dipersetujui.

Dalam pada itu, Vidyananthan memaklumkan, terdapat lapan kes baharu jangkitan wabak Covid-19 yang direkod semalam iaitu membabitkan enam kes daripada kluster sedia ada, satu kes hasil daripada saringan kontak rapat dan satu kes saringan.

“Kelmarin, terdapat satu kluster baharu yang dilaporkan iaitu Kluster Padang. Kes ini dikesan hasil daripada saringan gejala di fasiliti kesihatan. 

“Susulan itu, pengesanan kontak telah dijalankan dan ujian saringan Covid-19 mengesan empat kes baharu yang melibatkan tiga rakan sekerja dan seorang jiran. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Vidyananthan berkata,  terdapat empat kluster aktif di negeri ini iaitu Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN