Tengkujuh : Pengusaha ikan sangkar perlu peka - Utusan Malaysia

Tengkujuh : Pengusaha ikan sangkar perlu peka

AZMAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengusaha ikan sangkar di negeri ini diminta menuai hasil ternakan yang matang bagi mengelak risiko kematian terutama pada musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah merancang jadual pembenihan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kerugian yang perlu ditanggung penternak.

Bagaimanapun, katanya, bagi ternakan yang belum mencapai saiz pasaran, penternak disarankan mengurangkan stres pada ikan dengan mengelak kepadatan di samping memastikan kelancaran aliran air dan peka terhadap perubahan air.

“Spesis kerapu dan siakap lazimnya sensitif terhadap perubahan kadar kemasinan air terutama apabila memasuki musim tengkujuh, jadi saya minta penternak merancang sebaiknya jadual pembenihan dan tempoh masa hasil yang perlu dituai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selasa lalu, empat pengusaha ikan sangkar di Kampung Gong Tepah di Sungai Marang, Marang kerugian sebanyak RM55,500 akibat ternakan siakap dan kerapu bersaiz antara 500 gram ke 1.5 kilogram milik mereka mati.

Menurut Azman, hasil tinjauan Jabatan Perikanan dan sampel air yang diambil Jabatan Alam Sekitar mendapati insiden kematian ikan itu berpunca akibat penurunan kadar kemasinan air, kekeruhan dan bacaan oksigen terlarut dalam air yang berada di luar julat ternakan.

“Penternak menyedari ikan mulai lemah dan berenang di permukaan air pada pukul 4.30 petang pada 10 November lalu sekali gus mendorong mereka segera menuai ikan tersebut bagi jualan untuk mengelak kerugian.

“Kawasan yang terjejas mempunyai susun atur padat dan berisiko menghalang pergerakan air selain faktor hujan yang menyumbang kepada peningkatan kekeruhan dan saliniti rendah,” katanya.

Sehubungan itu, Azman berkata, kerajaan negeri kini dalam proses untuk menyalurkan bantuan kepada penternak terlibat menerusi Tabung Bencana Pertanian Negeri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya