Temco di dua kawasan Perak, PTS Sandakan, Temco Top Glove dilanjutkan - Utusan Malaysia

Temco di dua kawasan Perak, PTS Sandakan, Temco Top Glove dilanjutkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) dikenakan di Zon A Taman Klebang Jaya Dan Taman Pinji Mewah,  Ipoh, Perak berikutan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan pekerja-pekerja di Kilang Kamaya dan Kilang Salutica di daerah itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan mengesahkan jangkitan itu turut merebak di kawasan tempat  tinggal mereka.  

Kata beliau, sehingga kini, kesemua 1,402 pekerja daripada Kilang  Kamaya disaring dan merekodkan sebanyak 228 kes positif dengan 110 kes daripadanya melibatkan pekerja yang tinggal di Zon A, Taman  Klebang Jaya, Ipoh manakala 119 kes positif dalam kalangan pekerja di Kilang Salutica dan 89 kes melibatkan pekerja yang tinggal di Taman Pinji  Mewah.  

“Temco akan dilaksanakan bermula esok sehingga  14 Disember di Zon A, Taman Klebang Jaya melibatkan 1,061 rumah dengan jumlah penduduk seramai 4,244 orang manakala Taman Pinji Mewah (1,430 rumah dan 44 unit  kedai atau pejabat dengan jumlah penduduk seramai  5,720 orang),” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Temco  juga melibatkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan,  Sabah apabila merekodkan 104 kes positif melalui 324 ujian saringan.

Katanya, pelaksanaan itu bermula 2 Disember sehingga 15 Disember melibatkan 1,209 individu terdiri daripada  1,104 tahanan dan 105 kakitangan. 

Pada masa sama, katanya, Temco turut dilaksanakan di Kg. Desa Bajau dan Kg. Dasar Baru, Lahad Datu, Sabah setelah mendapati 90 kes positif dicatatkan melalui 665 ujian saringan.

“Pelaksanaan Temco ini akan melibatkan 914 rumah dengan jumlah seramai 4,934 penduduk,” katanya. 

Ismail Sabri turut memberitahu, Temco di  asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove, di Klang,  Selangor akan dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 14 Disember ini  apabila mendapati kadar positif di  kawasan itu masih tinggi selain kes positif  baharu dikesan dalam kalangan pekerja melalui ujian  saringan kedua. 

Katanya, Kementerian Kesihatan turut mendapati kes-kes negatif dalam kluster itu  masih berisiko dan ujian saringan kedua sedang diteruskan setelah 5,805  saringan terhadap pekerja di kilang itu dilaksanakan dan merekodkan sebanyak 3,406 kes positif.  

Beliau menjelaskan, semua pekerja kilang yang disaring dan negatif dalam kalangan bukan warganegara diletakkan di Stesen Kuarantin, manakala  pekerja warganegara perlu menjalani kuarantin di rumah.  

“Kesemua pekerja diletakkan di bawah perintah  pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama 14 hari bagi memantau status kesihatan harian, memakai gelang  pengawasan serta menjalani saringan ulangan pada hari ke-13.    

“Bagi pekerja yang didapati positif ditempatkan di Pusat  Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)  di asrama lelaki dan perempuan yang diwartakan di  kawasan Temco (bukan warganegara), manakala warganegara ditempatkan di fasiliti kesihatan kementerian,” katanya. 

Mengulas lanjut, pekerja warganegara dan bukan warganegara yang menjalani  kuarantin tidak dibenarkan untuk bekerja sehingga  keputusan saringan ulangan adalah negatif dan pelepasan  HSO diberikan. 

Selain itu, katanya, sebarang pergerakan pekerja dari pusat kuarantin dan PKRC  mesti dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang,  Selangor. 

“Pekerja-pekerja bukan warganegara hanya dibenarkan  bekerja sekiranya diberi pelepasan HSO atau kes positif yang dibenarkan pulang diberi nota discaj yang disahkan.

“Kesemua pekerja yang dilepaskan daripada HSO akan  dipakaikan gelang pengawasan yang berlainan warna dari  pekerja dalam HSO,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, perintah Temco di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan dan  Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al -Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak ditamatkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya