ALOR SETAR: Polis Kedah tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan membabitkan anggota keselamatan di sempadan Malaysia dan Thailand di Bukit Kayu Hitam dekat sini Jumaat lalu bermotifkan ugutan daripada anggota sindiket penyeludupan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota sindiket tersebut bertindak melepaskan tembakan tersebut selepas anggota keselamatan negara ini melakukan kawalan ketat di kawasan sempadan itu sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan polis Thailand untuk melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan (kejadian tembakan) masih diteruskan. Saya tidak nafikan ia ekoran diperketatkan penguatkuasaan, jadi aktiviti terlarang di sempadan tersekat, lalu mereka marah, apa pun kita sedang buat semakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Setar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Hadir sama, bekas Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd. Nor dan penggantinya, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.
Kejadian tembakan itu dipercayai berlaku pada pukul 6.30 pagi ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan rondaan di sempadan dekat Bukit Kayu Hitam.
Dua kelongsong peluru senjata api yang dipercayai dilepaskan oleh anggota sindiket penyeludupan itu turut ditemui di tempat kejadian.
Mengulas lanjut kata Hasanuddin, setakat ini, siasatan membabitkan bahan bukti berupa kelongsong peluru yang ditemukan di tempat kejadian itu.
Katanya, kelongsong peluru tersebut kini berada di unit forensik untuk siasatan lanjut.
“Pada Jumaat lepas, polis Bukit Aman dan polis Thailand turut berbincang mengenai kejadian tembakan itu dan mereka minta nak tengok bahan bukti yang ditemukan berupa kelongsong senjata api itu,” katanya.
Hasanuddin menambah, pihak polis akan berterusan melakukan penguatkuasaan di seluruh negeri ini bagi mengekang aktiviti terlarang termasuk penyeludupan melalui darat atau laut.
“Kita mendapat maklumat penyeludup beralih ke laut memandangkan di darat aktiviti diperketatkan jadi pemantauan berterusan dilakukan antara polis dan agensi lain,” katanya. – UTUSAN