Tegas banteras penggunaan racun terkawal dalam makanan  - Utusan Malaysia

Tegas banteras penggunaan racun terkawal dalam makanan 

MOHIDEEN ABD. KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun 1952 berikutan penemuan racun terkawal dalam makanan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, racun terkawal seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone itu dilaporkan ditemukan dalam 21 produk makanan dan minuman antaranya minuman kesihatan, kandi dan kopi pracampuran.

Ujarnya, kesemua bahan tersebut merupakan ubatan terkawal dan hanya boleh dibeli melalui preskripsi doktor sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana boleh sampai ke tangan pengeluar makanan.

Tambah beliau, produk yang mengandungi contohnya campuran sildenafil dan kafein pada paras tinggi boleh meningkatkan tekanan darah dan jika tidak diawasi boleh membawa maut.

“Dari semasa ke semasa kita mendengar Kementerian Kesihatan merampas makanan dan suplemen yang mengandungi ubatan terkawal.

“Sungguhpun pihak berkuasa telah mengharamkan produk yang didapati mengandungi  ubatan, produk seumpamanya masih beredar di pasaran di bawah jenama yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, tambah Mohideen, Kementerian Kesihatan perlu menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana pengeluar produk haram berkenaan mendapatkan bekalan ubatan terkawal untuk produk mereka. 

Ujarnya, jika siasatan tidak dijalankan maka tiada serbuan atau rampasan oleh pihak berkuasa yang dapat menghentikan produk berbahaya itu daripada terus beredar di pasaran.

“Sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan memandang serius situasi ini dan membanterasnya hingga ke akar umbi dengan menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya