Tasik Putra Perdana paling banyak mati lemas - Utusan Malaysia

Tasik Putra Perdana paling banyak mati lemas

TRAGEDI berlaku di tasik Taman Putra Perdana, Puchong 3 Oktober 2018 menjadikan kawasan ini paling berisiko tinggi untuk insiden mati lemas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tragedi berlaku di tasik Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 3 Oktober 2018 menjadikan kawasan itu paling berisiko tinggi untuk insiden mati lemas dalam air.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan berkata, sejak 2016 hingga tahun lalu, seramai 11 individu direkodkan maut di bekas lombong yang berkeluasan 10 hektar itu.

Ini menjadikan tasik buatan manusia ditinggalkan pelombong bijih timah awal 1980-an itu sebagai lokasi tertinggi kemalangan yang meragut nyawa di air dalam tempoh empat tahun.

“JBPM memberi indikator kategori berisiko tinggi bagi kawasan hotspot (titik panas) jika berlaku insiden mati lemas melibatkan bilangan lima mangsa dan ke atas,” jelas kenyataan itu.

Ini termasuk tragedi menyayat hati membabitkan enam anggota JBPM yang maut serentak ketika cuba mencari remaja lelaki mangsa lemas berusia 17 tahun, Muhammad Ilham Fahmy.

Berada di tempat kedua ialah Sungai Kampung Batu Payung di Tawau, Sabah yang mencatat 10 kes mati lemas diikuti Sungai SKC Kampung Timah, Bukit Beruntung, Selangor (tujuh kes).

Turut dianggap kawasan berisiko tinggi dengan masing-masing lima kes ialah Sungai Gasi berhampiran stesen KTM Sungai Buloh, Selangor dan Muara Tok Bali, di Pasir Putih, Kelantan.

Berdasarkan perangkaan JBPM, kawasan sungai paling tinggi kes mati lemas setiap tahun disusuli pantai, tasik atau lombong, air terjun atau jeram dan paling sedikit di pembentung.

Untuk tahun ini sahaja dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, seramai 128 kes mati lemas direkodkan iaitu 65 peratus daripada keseluruhan 198 kes berkenaan dicatat di seluruh negara.

Ini diikuti pantai dengan 43 kes (22 peratus), tasik atau lombong pula 16 kes (enam peratus), air terjun atau jeram lapan kes (lima peratus) dan pembentung hanya tiga kes (dua peratus).

“Angka pada tahun ini yang tidak termasuk dua bulan terakhir, bahkan lebih tinggi berbanding keseluruhan rekod mati lemas dicatatkan JBPM sepanjang tahun lalu cuma 192 kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya