Tarik balik tender pembersihan Sungai Nipah - Utusan Malaysia

Tarik balik tender pembersihan Sungai Nipah

Sungai Nipah di Kampung Naran, Bayan Lepas, Pulau Pinang yang tercemar dan dipenuhi sampah-sarap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Syarikat yang diberikan tender pembersihan Sungai Nipah di Kampung Naran, Bayan Lepas di sini perlu dikenakan tindakan termasuk menarik balik semua projek tender pembersihan sekiranya gagal menjalankan tugas mengikut jadual.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Iszuree Ibrahim berkata, selain itu tindakan juga perlu diambil kepada syarikat atau individu yang menjadi penyebab kepada kerosakan alam sekitar khususnya pencemaran sungai yang berhampiran.

“Kita juga mencadangkan perangkap sampah di sungai-sungai yang berpotensi tercemar ditambah.

“Kempen sayangi sungai juga perlu lebih kerap diadakan di sekolah-sekolah bersama komuniti setempat,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai Sungai Nipah di Kampung Naran berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang tercemar dengan timbunan sampah-sarap seperti botol plastik, bekas makanan, kayu dan beg plastik.

Dalam pada itu, Iszuree berkata, penduduk setempat mendakwa syarikat yang diberikan tender kerja pembersihan di Sungai Nipah itu gagal menjalankan tugas membersihkan sungai berkenaan sehingga dipenuhi sampah-sarap.

“Jika pembersihan secara berkala dijalankan dan mengikut jadual   dilakukan tidak akan berlaku sampah sarap yang bertimbun di permukaan sungai berkenaan,” katanya.

Tambahnya, Pas Pulau Pinang akan menghantar laporan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air  melalui Lajnah Alam Sekitar negeri mengenai masalah berkaitan pencemaran alam sekitar di Pulau Pinang khususnya di  Sungai Nipah.

Sementara itu, beliau berkata,  tindakan tidak bersungguh oleh agensi yang bertanggungjawab di bawah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah pencemaran sungai amat mendukacitakan.

“Kesungguhan kerajaan negeri mempertahankan slogan Pulau Pinang Bersih, Selamat, Hijau dan Sihat umpama hangat-hangat tahi ayam sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Habis

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya