KUALA KRAI: Seekor tapir jantan yang dianggarkan seberat 150 kilogram (kg) ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Sungai Durian-Chenulang, di sini malam tadi.
Bangkai haiwan liar itu dijumpai anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 10 malam ketika melakukan rondaan di laluan tersebut.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana melibatkan spesies haiwan yang dilindungi.
Menurutnya, rondaan pada sebelah malam secara berkala dari masa ke masa akan terus dijalankan bagi memastikan hidupan liar tidak keluar ke jalan raya.
“Sebagai langkah awal kita akan pasang perangkap berhampiran kawasan berkenaan dalam usaha menyelamatkan haiwan itu.
“Kita tidak menolak kemungkinan haiwan itu keluar ke jalan raya kerana sebahagian besar hutan simpan di kawasan itu telah ditukar kepada ladang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff memberitahu, situasi itu menyebabkan haiwan tersebut terpaksa keluar dari habitat asal ke lokasi baharu untuk mencari makanan.
Katanya, perkara itu membimbangkan Jabatan Perhilitan Kelantan kerana negeri ini sekarang kekurangan habitat yang sesuai bagi hidupan liar.
“Ekoran kejadian itu Perhilitan Kelantan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa peka dan berhati-hati ketika melalui kawasan itu terutama pada waktu malam,” ujarnya.
Ady Ermanty Haniff berkata, pemasangan lampu-lampu jalan menggunakan kuasa elektrik atau solar mampu mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan hidupan liar.