Tangkapan rasuah naik 23.3 peratus - Utusan Malaysia

Tangkapan rasuah naik 23.3 peratus

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan  tangkapan melibatkan jenayah rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat 23.2 peratus tahun lalu berbanding 2018 dengan merekodkan 1,101 kes.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, tangkapan bagi  kesalahan menerima rasuah mencatatkan kes tertinggi iaitu 448 kes daripada jumlah keseluruhan selain memberi rasuah meningkat 79 peratus (222 kes) diikuti tuntutan palsu 35.8 peratus (315 kes). 

Kata beliau, tangkapan bagi salah guna kedudukan dan lain-lain kesalahan pula katanya, masing-masing menunjukkan penurunan pada kadar 24.7 peratus (70 kes) dan 9.8 peratus (46 kes).

Angka itu berdasarkan Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang memaparkan enam statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks (kekerasan dan harta benda), dadah,  rasuah, alam sekitar, jenayah maritim dan pemulihan.

Statistik jenayah maritim dan pemulihan adalah tambahan dua statistik baharu dalam laporan itu pada tahun ini berdasarkan rekod pentadbiran daripada pelbagai agensi. 

Kata beliau, jenayah melibatkan harta benda merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 66,967 kes iaitu dengan kes kecurian kenderaan paling banyak 30,867 kes, pecah rumah dan curi (16,497 kes) manakala kes-kes kecurian lain sebanyak 19,584 kes.

Bagi jenayah melibatkan kekerasan pula, beliau menjelaskan, sebanyak 16,489 direkodkan iaitu jenayah samun mencatatkan kes tertinggi iaitu 9,729 kes, jenayah mencederakan orang pula 4,712 kes, selain jenayah rogol (1,738 kes) dan pembunuhan (310 kes).

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, tangkapan penagih dadah tertinggi direkodkan di Kedah  (3,582 orang) diikuti Kelantan (2,998 orang) dan Pulau Pinang (2,893 orang) pada tahun lalu.

“Majoriti penagih dadah ialah berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf iaitu 37.1 peratus selain penagih di peringkat sarjana muda dan ke atas yang merangkumi 0.5 peratus.

“Bilangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun terlibat jenayah menurun 8.7 peratus daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, majoriti mereka yang terlibat  dengan jenayah adalah lelaki iaitu berkaitan penagih dadah (95.7 peratus), rasuah (82.9 peratus), kanak-kanak terjebak jenayah (94 peratus) dan kemasukan banduan (89.5 peratus).

Selain itu, katanya, bilangan kemasukan banduan sabitan pula meningkat 17.9 peratus pada 2019  (138,044 orang) berbanding 2018 (117,090 orang) dengan Selangor merekodkan tertinggi iaitu 40,882 orang diikuti Sabah (15,695 orang),  Johor (14,297 orang) dan Pulau Pinang (10,050 orang). 

“Bilangan tangkapan tertinggi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkaitan perairan mengikut akta terpilih pada 2019  adalah tangkapan di bawah Akta Perikanan 1985 (603 kes) diikuti Akta Imigresen 1959/63 (167 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (132 kes) dan Enakmen Pelabuhan dan  Dermaga Sabah 2002 (94 kes),” katanya. 

Penyusunan  statistik itu berpandukan kepada konsep dan garis panduan daripada International  Classification of Crime for Statistical Purpose Version 1.0 yang diterbitkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya