JOHOR BAHRU: Satu kumpulan sindiket pinjaman wang haram atau ah long yang diberkas polis hari ini bukan sahaja menyimbah cat merah, malah menampal gambar muka sekitar rumah peminjam.
Sekiranya mangsa masih lagi tidak membayar, sindiket ini akan membakar bahagian pintu kediaman mangsa malah turut bertindak mengunci pintu pagar kediaman.
Modus operandi itu dikesan polis setelah mereka ditahan menerusi dua serbuan berasingan di Apartmen Impian Senibong di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek ditangkap adalah merupakan warga tempatan yang berusia antara 21 hingga 25 tahun.
Menurutnya, serbuan bermula pukul 7.45 pagi itu dijalankan sepasukan tiga pegawai dan 12 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah.
“Dalam serbuan pertama, kita menahan seramai tiga suspek lelaki selain turut merampas wang tunai berjumlah RM9,000, nombor pendaftaran kenderaan palsu, tong cat, buku nota hutang dan simkad nombor Singapura.
“Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, seramai empat lelaki ditahan. Turut dirampas wang tunai RM3,000, risalah iklan, kad nama, cat merah dan telefon bimbit,” katanya kepada dalam sidang akhbar selepas menyertai serbuan itu.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad.
Ayob Khan turut berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif dengan kegiatan itu di sekitar bandar raya ini sejak tahun lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek ditahan menerima gaji bulanan berjumlah RM2,500 untuk menjalankan kerja-kerja ah long, termasuk melakukan ugutan terhadap mangsa.
“Ini merupakan operasi ketiga yang dilakukan melibatkan sindiket ah long iaitu sejak Januari, seramai 49 suspek telah ditahan dan 54 kertas siasatan dibuka dengan 27 daripadanya mereka telah dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki baki anggota sindiket ah long ini atau yang berkaitan dengan tujuh yang ditangkap hari ini.- UTUSAN ONLINE