GEORGETOWN : Kerajaan negeri akan merujuk nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada memohon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini ditamatkan lebih awal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu kesihatan rakyat dan pada masa ini pihaknya dan KKM sedang memantau serta menilai situasi terkini wabak Covid-19 di negeri ini.
“Keutamaan kita adalah keselamatan serta kesihatan awam, mungkin ada negeri situasi Covid-19 telah pulih, saya tidak dapat nyatakan kita akan mohon atau tidak (PKPB ditamatkan lebih awal).
“Kerajaan negeri akan akur dengan apa sahaja saranan daripada KKM kerana mereka mempunyai maklumat terkini mengenai situasi Covid-19 di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat kuarantin di sebuah hotel di Tanjung Bungah, di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah memohon kepada Kerajaan Pusat untuk menamatkan PKPB lebih awal di negeri itu berbanding yang ditetapkan itu pada 6 Disember ini.
Selain itu, langkah yang sama turut diambil oleh kerajaan negeri Terengganu memandangkan situasi Covid-19 di negeri berkenaan semakin berkurangan.
Menurut Jagdeep soal ekonomi rakyat yang terjejas akibat PKPB juga menjadi perhatian kerajaan negeri pada masa ini namun langkah terbaik adalah mematuhi saranan KKM.
“Kita dapat lihat keadaan jalan raya yang lengang malah kedai-kedai turut kosong. Pada masa ini ujian saringan Covid-19 masih dijalankan, kita perlu ambil kira tempoh yang sesuai sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga kelmarin, Pulau Pinang mencatat lapan kes baharu Covid-19 yang membawa jumlah kumulatif kes di negeri itu kepada 1,711.
Sementara itu katanya, tiada kes positif Covid-19 dicatatkan oleh individu yang menjalani kuarantin di dua buah hotel yang dijadikan pusat kuarantin.- UTUSAN ONLINE