MELAKA: Peruntukan sehingga RM85.5 juta terhadap kewujudan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) adalah tidak masuk akal ketika rakyat dalam keperitan menghadapi kesan pandemik Covid-19.
Presiden Kebajikan Masyarakat Sivil Melaka (PKMSM), Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, penubuhan semula organisasi itu tiada masalah, namun peruntukan yang diumumkan amat tidak wajar.
“Kewujudan Jasa bagi saya tiada masalah, cuma jabatan itu dan pegawainya wajar mengubah visi dan misi mereka berdasarkan perkembangan semasa negara.
“Namun isu yang dipertikaikan adalah peruntukan sebanyak RM85.5 juta yang sungguh tidak masuk akal ketika ramai rakyat hilang pekerjaan dan mata pencarian,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Peruntukan yang disifatkan agak tinggi itu menimbulkan polemik serta rasa tidak senang dalam kalangan rakyat serta sebilangan ahli Parlimen lain khususnya pembangkang.
Muhammad Anwar Fahmi berkata, masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan atau dana untuk melanjutkan pengajian serta memperkasakan diri melalui program kemahiran.
Untuk itu katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz belum terlambat untuk mengkaji semula jumlah besar yang diperuntukkan kepada Jasa.
Katanya, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga sedang berdepan hilang kepercayaan dan sokongan rakyat disebabkan dasar, polisi serta pendirian yang tidak sehaluan dengan kehendak majoriti rakyat.
“Saya rasa elok Perdana Menteri dan Menteri Kewangan segera tarik balik peruntukan berkaitan dan agihkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi untuk mereka sambung pengajian.
“Apatah lagi ini bukan soal ideologi parti politik antara Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), namun pelbagai pihak termasuk UMNO sendiri mempersoalkan peruntukan berkaitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE