Syarikat rugi RM2.29 juta akaun digodam - Utusan Malaysia

Syarikat rugi RM2.29 juta akaun digodam

WAKIL syarikat menunjukkan laporan polis dibuat mereka terhadap penggodam yang mencuri keseluruhan wang berjumlah RM2.29 juta daripada empat syarikat berbeza.-UTUSAN/ Khairul Mohd Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat syarikat mendakwa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM2.29 juta selepas akaun bank masing-masing digodam pihak ketiga pada Ogos lalu.

Wakil keempat-empat syarikat terbabit memaklumkan wang yang dicuri merupakan peruntukan untuk membayar pembekal perniagaan mereka.

Salah seorang wakil syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Tang, 43, memberitahu, akauntan syarikat berkenaan mula mengesyaki sesuatu apabila nombor akaun pembekal mereka telah bertukar pada 4 Ogos lalu.

Katanya, syarikat itu sentiasa membuat pembayaran kepada pembekal pada penghujung setiap bulan dengan satu nombor akaun yang sama.

“Tetapi, kali ini pembayaran dibuat kepada lima akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.

“Polis telah menahan beberapa individu berhubung jenayah ini sebelum ini namun persoalan adalah bagaimana pihak bank tidak dapat mengesan perbuatan penggodam berkenaan,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Seorang lagi wakil syarikat berbeza yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 59, pula memberitahu, penggodam telah mencuri RM199,717 daripada akaun milik syarikatnya.

Katanya, pihaknya hanya menyedari perkara itu setelah mendapat panggilan telefon daripada syarikat pembekal memaklumkan mereka tidak menerima sebarang pembayaran.

“Saya memberitahu mereka perkara itu mustahil kerana saya telah meluluskan pembayaran yang dibuat terbabit.

“Tetapi apabila saya melakukan pemeriksaan dengan pihak bank, saya mendapati wang berkenaan telah dipindahkan kepada akaun tidak dikenali menerusi 29 transaksi pada 28 Julai lalu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah yang dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(3) Akta Jenayah Komputer 1997. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN