Surau jadi kelas online sementara - Utusan Malaysia

Surau jadi kelas online sementara

IBRAHIM Abdul Rahman mengajar murid-muridnya secara dalam talian di Surau As Shakirin Kampung Sri Mahkota, Pontian Besar, Pontian, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang guru sanggup berkorban masa dan wang ringgit agar murid dan pelajar sekolah tidak tercicir daripada arus pelajaran akibat penutupan sekolah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November lalu.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian Besar, Ibrahim Abdul Rahman, 56, berkata, dia mengambil inisiatif berkongsi data internet telefon bimbit miliknya untuk dijadikan ‘hotspot’ kepada murid bagi memudahkan mereka mengakses internet ketika menjalani kelas tersebut.

Malah, katanya, dia kini menjadikan Surau As Shakirin di Kampung Sri Mahkota, Pontian Besar sebagai kelas sementara untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.

Menurut Ibrahim, pembelajaran di surau itu bukan sahaja dihadiri murid-muridnya, malah juga melibatkan pelajar sekolah lain yang tinggal di kampung sama.

“Kebanyakan murid dan pelajar yang tinggal di kawasan ini akan datang ke surau itu untuk sama-sama belajar secara online dengan bantuan hotspot telefon saya.

“Kita tidak mahu murid-murid ketinggalan kerana ramai dalam kalangan penduduk kampung di sini bukan dari keluarga senang dan kemungkinan untuk mereka dapatkan data internet satu kekangan.

“Jadi ini adalah sedikit cara saya untuk membantu murid-murid supaya mereka terus dapat menimba ilmu walaupun dalam keadaan sukar seperti ini,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Ibrahim berkata, pembelajaran secara dalam talian itu diadakan secara berkumpulan mengikut kumpulan kecil selain tidak mengetepikan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, dia mengajar mata pelajaran Sejarah bagi Tahun 6, Bahasa Melayu Tahun 3 serta Bahasa Inggeris Tahun 1.

Walaupun kelajuan internet kurang memuaskan tapi Ibrahim berkata, dia sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada murid-murid yang belajar dalam situasi norma baharu.

Bagi pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian, Fifi Nurafifi Rosmaini, 13, berkata, walaupun terpaksa belajar secara dalam talian tetapi tetap dia tetap fokus ketika guru memberikan tugasan.

“Banyak perbezaan ketika waktu pandemik Covid-19 ini kerana terpaksa belajar di rumah secara maya dan membuat kerja sekolah yang diberikan oleh guru,” katanya.

Tambahnya, dia akan belajar secara berkumpulan di bawah pemantauan Ibrahim di surau itu kerana capaian internet di situ lebih baik di rumahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN