Sungai Golok, Sungai Kelantan hampiri paras bahaya - Utusan Malaysia

Sungai Golok, Sungai Kelantan hampiri paras bahaya

Paras air sungai Lebir di Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan semakin meningkat pagi ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan menyebabkan paras air sungai-sungai utama di negeri ini meningkat melepasi tahap amaran dan menghampiri tahap bahaya.

Berdasarkan bacaan terkini dipaparkan infobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Limau Kasturi, Gua Musang sudah melepasi tahap amaran.

Setakat pukul 3 petang ini, paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencecah 8.02 meter, menghampiri paras bahaya 9 meter manakala Sungai Kelantan di Limau Kasturi pula mencecah 57.74 meter, menghampiri paras bahaya 59 meter.

Bacaan paras Sungai Galas di Gua Musang pula mencecah 83.77 meter, melepasi tahap berjaga-jaga menghampiri tahap amaran 85.6 meter.

Turut melepasi tahap berjaga-jaga adalah Sungai Kelantan di Kuala Koh dan Sungai Golok di Jenob yang kini masing-masing mencapai paras 69.12 meter dan 21.64 meter.

Sementara itu di Gua Musang, lebih 10,000 penduduk di 30 lokasi kawasan rendah di daerah ini dinasihatkan membuat persiapan awal termasuk bersedia untuk berpindah jika penempatan mereka dilanda banjir.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, antara lokasi yang mudah dinaiki air Kampung Kundur, Kampung Batu Papan, Kampung Batu Enam, Kampung Bertam Lama dan Kerinting.

Selain itu, turut dikenal pasti lokasi mudah dinaiki air Kampung Sungai Terah, Kampung Limau Kasturi, Bandar Lama, Kuala Sungai, Pasir Linggi, Pos Pulat dan Kampung Aring 5.

“Penduduk di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan.

“Kelmarin, terdapat jalan ke Kampung Pasir Linggi di sini sudah dinaiki air akibat hujan, namun begitu belum ada mangsa yang dipindahkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Taufik dalam pada itu memuji tindakan penduduk kampung di pinggir sungai yang mengambil inisiatif menyediakan bot sendiri di rumah masing-masing, sekali gus meringankan beban pasukan penyelamat.

Katanya, penduduk harus melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya kawasan mereka dinaiki air dan tidak menularkan gambar bencana banjir sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya