Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat hadiri sambutan majlis kesyukuran dan doa selamat - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat hadiri sambutan majlis kesyukuran dan doa selamat

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis kesyukuran dan doa selamat sempena ulang tahun hari keputeraan baginda di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh hari ini. – Utusan/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Muizzuddin Nazrin Shah berangkat ke majlis kesyukuran dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.

Pelaksanaan majlis yang mengikut norma baharu hanya dihadiri kira-kira 300 orang, mengikut kapasiti ruang solat di tingkat atas masjid tersebut.

Selain itu, jemaah juga perlu mengimbas kod QR serta diambil bacaan suhu badan seperti ditetapkan.

Turut berangkat Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Suaidi Abdul Rahim, Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Majlis bacaan Yasin bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu dipimpin oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Majlis diikuti dengan solat Jumaat didahului dengan khutbah khas sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak yang bertajuk ‘Mentaati Raja Tonggak Kesejahteraan Negara’.

Ia merupakan acara tahunan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak yang diputuskan pada Jumaat pertama dalam bulan November.

Majlis sama turut diadakan serentak di masjid-masjid seluruh negeri negeri.

Semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin me­ngumumkan berikutan perkembangan semasa penularan wabak Covid-19, acara-acara rasmi utama lain bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan tahun ini ditangguhkan.

Antaranya, kata beliau ialah Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Kata beliau, lain-lain acara sambutan juga ditangguhkan disebabkan Covid-19 termasuk majlis santapan diraja, istiadat kawalan kehormatan serta istiadat menghadap sembah taat setia dan menjunjung duli.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya