'Sudah dua kali kejadian tapir kena langgar di NS tahun ini' - Utusan Malaysia

‘Sudah dua kali kejadian tapir kena langgar di NS tahun ini’

TAPIR jantan seberat 250 kilogram mati dilanggar motosikal dalam kejadian di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin, malam semalam. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sebanyak dua kejadian tapir dilanggar kenderaan direkodkan berlaku di negeri ini tahun ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, kejadian pertama berlaku Februari lalu manakala kejadian terbaharu berlaku malam tadi membabitkan seekor tapir jantan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.

Pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 11.30 malam semalam dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kepastian selepas menerima maklumat kemalangan membabitkan haiwan dilindungi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati tapir jantan seberat hampir 250 kilogram itu mengalami hentakan kuat dan juga cedera di bahagian badan.

“Tapir ini dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Hutan Simpan Tebong dan kebiasaannya pada setiap musim buah tapir ini akan keluar dari habitat dan masuk ke kawasan perkampungan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Mat berkata, kejadian kali pertama berlaku di Hutan Simpan Bukit Rokan Utara iaitu kira-kira 20 kilometer dari kejadian kali kedua semalam.

Sementara itu, katanya tapir berkenaan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan cara menanamnya berhampiran Pejabat Perhilitan Daerah Gemas.

“Kami nasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan sentiasa berwaspada ketika memandu di waktu malam khususnya apabila melalui kawasan berhampiran hutan atau habitat hidupan liar.

“Di Negeri Sembilan, sebanyak 39 papan tanda amaran kawasan lintas hidupan liar diletakkan terutamanya yang berhampiran kawasan hutan simpan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan berkenaan berlaku kira-kira pukul 8.30 malam di Jalan Batang Rokan berhampiran sekolah memandu Safe Motoring Academy Sdn. Bhd. Gemencheh.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal jenis Yamaha 125Z bersama seorang pembonceng yang kedua-duanya remaja lelaki dalam perjalanan dari Felda Bukit Rokan menuju ke Pekan Gemencheh.

“Semasa melalui jalan berkenaan, tiba-tiba seekor tapir melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat menekan brek dan melanggar tapir berkenaan.

“Akibat pelanggaran tersebut, haiwan berkenaan mati dan penunggang motosikal berusia 19 tahun mengalami kecederaan di kepala. Pembonceng berusia 18 tahun pula mengalami patah tangan kiri dan paha kiri dan kedua-duanya telah menerima rawatan di hospital, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya