SPR terima dua notis kekosongan luar jangka - Utusan Malaysia

SPR terima dua notis kekosongan luar jangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka Parlimen P054 Gerik, Perak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah. 

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman rasmi diterima daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 18 November lalu, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik. 

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Bagi kerusi DUN Bugaya pula, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, pada 23 November lalu. Satu PRK juga akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berdasarkan kepada Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ikmalrudin berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya, Jumaat ini pukul 9.30 pagi. 

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh,  yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya. 

Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia di Raub, Pahang petang tadi kerana sakit jantung, pada 16 November lalu. 

Manakala ADUN Bugaya, Sabah, Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah, 65, yang juga Ketua Wanita WARISAN Semporna meninggal dunia kerana sakit buah pinggang di Hospital Gleneagles. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN