SOP baharu PKPB, PKPP dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

SOP baharu PKPB, PKPP dalam masa terdekat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menambah baik usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 di kawasan-kawasan yang dikenakan perintah itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan SOP itu juga akan turut melibatkan PKP Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan di seluruh negara.

 Menurut  beliau, perkara itu akan dicadangkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal sebelum dibentangkan kepada sidang khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Cadangan perubahan SOP baharu ini termasuk semua melibatkan PKPB dan PKPP. Majlis itu telah membentangkannya pada sidang khas MKN pagi tadi namun kita minta mereka mengemaskan kembali cadangan-cadangan itu. 

“Ini kerana kita tidak mahu ada kekeliruan dalam kalangan rakyat apabila diumumkan nanti, jadi semuanya kena dilihat terperinci supaya tidak menyusahkan rakyat. Dalam masa terdekat MKN akan membentangkan semula,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas MKN di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, cadangan berkaitan penambahan jumlah jemaah di surau dan masjid termasuk majlis pernikahan turut akan diteliti dalam sidang khas MKN selepas segala SOP berkaitan agama akan dipersembahkan kepada sultan atau Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak majikan diminta memberikan pelepasan cuti kepada pelajar praktikal yang membuat latihan industri di syarikat mereka supaya mereka tidak berada di pejabat dalam tempoh pandemik ini.

“Saya berharap memandangkan keadaan kurang selamat terutama di kawasan zon merah saya memohon kepada majikan supaya membenarkan pelajar praktikal diberikan cuti kerana mereka bukan pekerja tetap. 

“Jadi gunakan budi bicara bagi menjaga keselamatan pelajar untuk memberikan pelepasan ini dan bila keadaan pulih, mereka boleh menyambung latihan praktikal semula,” katanya.

Ismail Sabri turut memberitahu, mana-mana individu yang tidak mendapat bekalan makanan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau MKN.

“Penyelarasan bantuan makanan ini dibuat jawatan kuasa itu, jadi tidak sepatutnya timbul isu. Setakat hari ini semua makanan diberikan kepada semua pihak termasuklah warga asing yang terperangkap dalam kawasan Temco itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN